TERHUTANG BUDI- DR.ABDULLAH TAHIR- SIRI 1
Saya terhutang budi kepada mereka yang telah membimbing dan mendidik saya. Salah seorang daripadanya ialah Dr. Abdullah Tahir. Ketika itu beliau menjadi pensyarah di Rancangan Penulisan Kreatif dan Deskriptif (RPKD) di bawah Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Beliau telah kembali ke rahmatullah pada tanggal 5 Julai 1997 . Allahyarham telah memberikan sumbangan yang bermakna dalam hayat dan kehidupan kesusasteraan, bangsa terutama dalam genre cerpen. Saya masih ingat sekitar bulan Julai 1983 saya sebagai freshie mendaftarkan diri sebagai mahasiswa di UM yang terulung. Pendaftaran berlangsung di Dataran Sastera Fakulti Sains dan Sosial (FSSS). Apabila saya menyemak nama saya dalam senarai pendaftaran, nama saya dimasukkan dalam program RPKD. Pada mulanya saya musykil dan gusar kerana program itu khusus kepada penulis dan bakal penulis. Apabila saya dalam keadaan yang serba salah dan buntu, maka saya dihampiri oleh seorang insan yang bernama Abdullah Tahir. Beliau menasihati saya dan memujuk saya agar menerima kursus ini atas dua sebab. Yang pertama saya memperoleh gred A dalam BM STPM tahun 1982 dan yang kedua ialah kali pertama kursus tersebut dibuka kepada pelajar bukan Melayu khususnya kepada pelajar India. Allahyarham menjelaskan lagi tentang struktur kursus dan mata-mata kuliah yang boleh saya pilih. Beliau meyakinkan saya bahawa sebagai guru, kursus seumpama ini adalah paling sesuai bagi saya kerana saya boleh mengajar BM dan Kesusateraan apabila berada di sekolah kelak. Setelah banyak berfikir akhirnya saya menerima kursus tersebut. Berkat latihan dan ilmu yang dipelajari, saya telah menulis sebuah artikel dalam majalah Budiman UM mengenai pengalaman kami merentas Sungai Tembeling dan berkhemah di Taman Negara selama 3 hari 2 malam bersama seorang pensyarah kami di bawah Kursus Penulisan Rencana. Kemudian salah seorang rakan saya menterjemah makalah tersebut dalam bahasa Tamil untuk disiarkan dalam tabloid vernakular “Vanambadi” .
No comments:
Post a Comment