Monday, May 12, 2025

Ilmu perlu dikongsi

Ilmu perlu dikongsikan. Jika tidak ilmu itu hanya akan tertanam bersama jasad kita di alam baqa. Ada orang berkata, kosongkan diri kita sebelum kita bertemu ajal. Ertinya apa yang kita tahu, terutama segala yang baik, hendaklah kita curahkan kepada yang masih hidup demi kebaikan dan masa depan hidup mereka. Itulah yang saya hadapi setiap kali saya kongsikan sesuatu. Namun apa yang hendak dikongsikan bukan sekadar berkongsi semata-mata, tetapi perkongsian itu harus berupa sesuatu yang boleh memanfaatkan khalayak umum. Sesudah sekian lama mengharungi hidup, sejak zaman remaja hingga sekarang, beranak, ber cucu, tidaklah melampau jika saya katakan sudah banyak maklumat terkumpul daripada pengalaman, pembacaan, pemikiran dan pemerhatian saya. Walaupun bukan semua tetapi sebahagiannya bolehlah diistilahkannya sebagai ilmu.

Walaupun sudah bersara, saya masih rasa bangga dan bersyukur kerana sesetengah guru masih ingin mendapatkan bimbingan dan nasihat saya mengenai Kajian Tindakan di sekolah-sekolah mereka. Hari ini saya telah membimbing dua orang guru dalam subjek Pengajian Am dan Bahasa Melayu STPM. Begitulah caranya kita menimba ilmu. Bertanya kepada yang tahu. Kita pula janganlah kemut untuk mengongsikan pengalaman dan ilmu kita. Hampir setiap tahun ada-ada sahaja permintaan daripada kalangan guru minta saya membantu dalam kajian tindakan mereka, khususnya bekas pelajar saya yang menjadi guru tingkatan enam. Kita tidak akan rugi kalau berkongsi dengan orang lain, malah ingatan kita akan menjadi kuat. Tuhan telah menitiskan ilmu kepada kita. Jadi kongsikan sahajalah. Terima kasih kerana sumbangan saya di KPM, JPN, IAB, PPD dan sekolah sewaktu saya berkhidmat dulu, masih dikenang.

No comments:

Post a Comment

Jejak Dalam Jeda

My Own Modules

For a long time, I have dedicated my Sundays to generating and developing exercises and modules for BM Lower Secondary, SPM, and STPM. I hav...