Wednesday, May 21, 2025

Bekas Murid Berjaya


Pagi ini saya terus menuju ke Klinik Perda untuk menjalani ujian darah dan air kencing. Dalam kesibukan menunggu, saya sempat bertemu dengan seorang kawan lama — seorang guru yang telah bersara. Isterinya pula pernah menjadi rakan setugas saya suatu ketika dahulu. Kebetulan, saya pernah mengajar ketiga-tiga anak mereka dalam subjek Bahasa Melayu. Keluarga mereka adalah keluarga Melayu pertama di mana saya diberi peluang untuk mengajar kesemua anak-anaknya.

Anak lelaki sulungnya pernah saya ajar subjek Pengajian Am di sekolah. Kini, dia telah menetap di Kuala Lumpur bersama keluarganya. Dua anak perempuannya pula saya ajar Bahasa Melayu peringkat SPM dan STPM. Anak kedua kini bergelar doktor pakar dan bertugas di Perda, manakala yang ketiga pula menjadi seorang peguam di Inderawasih. Ketika di klinik tadi, anak yang menjadi doktor itu sempat menyapa saya dengan ucapan hello. Saya faham, dia sangat sibuk melayani pesakit yang berbaris panjang menunggu di luar bilik rawatan.

Melihat bekas anak murid saya berjaya dalam bidang masing-masing membuatkan hati saya berbunga girang dan bangga. Lebih mengharukan, mereka datang daripada keluarga yang sama — sebuah keluarga Melayu yang suatu ketika dahulu begitu yakin dengan kemampuan saya sebagai seorang guru. Saya anggap ini sebagai satu pencapaian peribadi yang sangat bermakna. Anak keduanya itu sebaya dengan anak sulung saya. Saya turut berasa gembira apabila mengetahui dia masih terus menyambung pengajian dalam bidang kepakarannya. Namun, si bapa sempat merungut bahawa anaknya itu belum mahu berkahwin. Saya hanya tersenyum dan mengangguk — itu urusan peribadi mereka yang saya tidak campuri.

Saya menerima nombor giliran 7054. Ternyata ramai pesakit hari ini yang datang untuk menjalani ujian darah. Saya perlu menunggu dengan sabar. Seusai urusan di klinik, saya bersarapan dan kemudian menghadiri kelas bimbingan pada pukul 10 pagi di Old Town Coffee. Sekitar pukul 2 petang nanti, saya bercadang memandu ke Taiping untuk bertemu keluarga seorang kawan. Tapi entahlah, tidak pasti pukul berapa ujian darah ini akan selesai.

No comments:

Post a Comment

Jejak Dalam Jeda

My Own Modules

For a long time, I have dedicated my Sundays to generating and developing exercises and modules for BM Lower Secondary, SPM, and STPM. I hav...