Monday, May 26, 2025

Pemimpin dan Luka Kepercayaan

 


Sejak dulu lagi, saya sukar — malah enggan — menerima pemimpin yang korup. Bukan sekadar korup dari segi kewangan, tetapi lebih parah jika turut rosak dari segi moral. Amanah itu tanggungjawab, bukan peluang untuk mengaut laba. Jika kedua-duanya gagal dijaga, maka tidak layak seseorang itu bergelar pemimpin.

Lebih menyedihkan, demi mengekalkan kuasa dan kedudukan, ada yang sanggup menyembunyikan salah laku dengan perbuatan yang lebih jijik. Tanpa rasa malu, mereka sanggup melakukan apa jua demi kepentingan peribadi. Seringkali lidah mereka dibasahi dusta, namun wajah tetap dihias dengan senyuman kononnya penuh hikmah.

Pemimpin yang jujur tidak perlu menunjuk-nunjuk, kerana hasil kerjanya cukup menjadi suara.Tetapi hari ini, ramai yang berlagak hebat, sibuk membandingkan diri dengan orang lain, seolah-olah merekalah paling suci dan sempurna. Sedangkan pemimpin sejati bekerja diam-diam untuk rakyat, bukan berkokok sebelum bertelur.

Lebih memualkan, budaya nepotisme diterima bulat-bulat — dengan justifikasi yang direka mengikut selera. Bila rakyat bertanya, makna nepotisme ditafsir ikut suka.Tapi rakyat bukan lagi bodoh. Nepotisme bukan sekadar soal siapa dilantik, tetapi kenapa dan untuk apa dia dilantik.

Dalam dunia yang semakin celik dan berani bersuara, kepercayaan itu mahal harganya. Bila ia dikhianati oleh tangan-tangan yang diberi amanah, luka yang tinggal bukan kecil. Dan sejarah telah lama mengingatkan kita: Kuasa yang tidak diiringi amanah adalah ujian yang memusnahkan.

No comments:

Post a Comment

Jejak Dalam Jeda

My Own Modules

For a long time, I have dedicated my Sundays to generating and developing exercises and modules for BM Lower Secondary, SPM, and STPM. I hav...