Monday, May 26, 2025

Sekularisme-Masih Ternganga


Sejak kecil, saya tidak memahami apa itu sekularisme.
Apa yang saya faham hanyalah pendidikan formal di sekolah dan pendidikan tidak formal di rumah. Jika tidak silap saya, istilah sekularisme ini dipopularkan oleh orientalis Barat, terutamanya penjajah. Walaupun begitu, saya sudah dapat melihatnya dengan jelas sejak tahun 1970-an apabila saya melangkah ke alam persekolahan menengah. Orientalis Barat telah memisahkan kehidupan beragama daripada kehidupan duniawi. Sejak itu, kita semakin cenderung ke arah cara hidup yang materialistik, hedonistik, dan mementingkan dunia semata-mata.

Keadaan menjadi lebih parah apabila sistem pendidikan kita mula menekankan peperiksaan. Pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dipuji atas pencapaian akademik mereka, bukan kerana nilai kemanusiaan yang dimiliki. Situasi ini masih berterusan sehingga kini. Malah, Pendidikan Agama dan Pendidikan Moral juga dinilai semata-mata berdasarkan markah dalam peperiksaan. Maka, pelajar bersungguh-sungguh menghafal semua nilai agama dan moral tanpa benar-benar menghayatinya.

Saya pernah tertanya-tanya, bolehkah pendidikan moral seseorang diuji secara empirikal? Saya masih ingat ketika di sekolah menengah dahulu, pihak sekolah memberi kebenaran kepada kami untuk membincangkan isu-isu besar seperti kemiskinan, banjir, kemarau, dan pelbagai masalah kemanusiaan lain. Kami diberikan pentas untuk berucap, dan hujah-hujah kami dinilai oleh sekurang-kurangnya dua orang guru, tanpa mengira mata pelajaran yang mereka ajar. Ketika sambutan Hari Guru di peringkat sekolah, para guru juga turut serta dalam forum dan perbincangan bersama kami.

Kini, suasana seperti ini sudah jarang kelihatan, baik dalam kalangan guru mahupun pelajar. Perkara ini sebenarnya telah menggalakkan dan memaksa kami untuk lebih banyak membaca. Maka, budaya membaca benar-benar hidup dalam jiwa kami. Selain penekanan terhadap peperiksaan, tumpuan yang sama juga diberikan kepada budaya membaca, kecintaan terhadap ilmu, dan keupayaan untuk berwacana.

No comments:

Post a Comment

Jejak Dalam Jeda

My Own Modules

For a long time, I have dedicated my Sundays to generating and developing exercises and modules for BM Lower Secondary, SPM, and STPM. I hav...