Saya akui... ya, saya pernah berdendam. Perasaan itu hadir apabila ada insan yang berpura-pura baik di depan saya, tetapi diam-diam ke belakang, bertemu dengan pihak tertentu untuk mendapatkan jawatan. Saya tahu – bukan semua yang saya kenal, malah ada juga yang langsung saya tak kenal – akhirnya dapat apa yang mereka impikan.
Sedangkan saya? Sepanjang hidup ini, seolah-olah apa yang saya hajati sentiasa sukar digapai. Ada saja halangan yang datang tanpa dijemput. Saya pernah terfikir, “Adakah aku silap buat PhD?” Rasa kesal itu memang ada.
Namun, dua tahun sebelum bersara, saya ditawarkan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi gred DG54. Saat itu saya tersedar — mungkin apa yang sepatutnya milik saya tidak akan pernah ‘terlepas’ kepada orang lain. Tuhan menyimpannya untuk waktu yang lebih tepat.
Dan selepas bersara, saya masih aktif mengajar. Ramai yang lain sudah pun ‘gulung tikar’. Sedikit demi sedikit, saya mula melupakan mereka yang pernah membuat saya terasa hati. Saya belajar untuk reda. Serahkan segalanya kepada takdir, kerana Tuhan jauh lebih arif tentang apa yang terbaik buat kita.
Tuhan menyusun cahaya hidup kita mengikut keadaan masing-masing. Kalau kita benar-benar percaya kepada Tuhan, maka kita harus percaya pada perancangannya.
Hari ini, saya tidak lagi memikirkan tentang orang lain. Fokus saya lebih kepada diri sendiri — hidup saya adalah milik saya, hidup mereka adalah milik mereka. Tak perlulah berdendam, apatah lagi cemburu dengan rezeki orang lain.
Hakikatnya, saya tidak pernah kekurangan. Gaji semasa bekerja dulu, pencen sekarang, kerja sambilan selepas bersara — semuanya cukup, alhamdulillah.
Cuma satu perkara yang masih saya fikirkan hari ini:
Biarlah kita tidak sakit. Itu sudah memadai.
No comments:
Post a Comment