Monday, May 12, 2025

Strukturalisme 2

Bahagian 2.

Setelah Saussure membuat kajian linguistik sinkronik, wujud satu asas aliran linguistik diskriptif yang kemudiannya dinamakan linguistic strukturalisme (Hashim Musa, 1994: 121). Kajian sinkronik Saussure ini melibatkan kajian bahasa yang menyeluruh sebagaimana yang terdapat pada sesuatu masa atau satu detik waktu dan menolak kajian diakronik yang melibatkan sejarah bahasa itu sendiri (Palmer, 1989: 13). Dalam sesuatu bahasa, prinsip keutamaan pertuturan lebih daripada tulisan memberi implikasi kerana bahasa pertuturan tersebar lebih luas daripada tulisan (Lyons, 1993: 42). Menurut Saussure lagi, bahasa berada dalam sesuatu system konvensional dan bersifat arbitrari.

Sehubungan dengan kajian ini, Saussure telah mengemukakan bahawa, bahasa adalah satu sisitem tanda yang berada dalam konvensi-konvensi tertentu yang dipersetujui bersama di dalam sesebuah masyarakat (Sohaimi Abdul Aziz, 1997:5). Menurut Saussure lagi, sign (tanda) wujud daripada kesatuan signifier (penanda) dengan signified (petanda). Hubungan antara signifier dengan signified adalah bersifat arbitrary iaitu berdasarkan persetujuan bersama penuturnya. Misalnya perkataan ‘meja’ di dalam bahasa Melayu merujuk kepada objek meja tetapi dalam bahasa Inggeris, objek yang sama dirujuk kepada perkataan ‘table’. Maka hubungan antara signifier dengan signified tidak stabil. Objek yang sama mempunyai penanda yang berbeza.

Model teori bahasa Saussure ini telah digunakan untuk mengkaji karya sastera. Karya sastera dikaji untuk menemukan sistem atau struktur yang mendasari sesebuah karya. Sistem yang mendasari karya adalah sistem operasi mental. Antara yang mendasari konsep langue dan parole ialah persetentangan duaan (binary opposition) (Lentricchia, 1980: 128). Pendekatan yang bersifat analitikal ini untuk menemui makna dalam gabungan unit-unit yang membentuk sistem tersebut. Pendekatan ini dinamakan strukturalisme merupakan satu usaha untuk menerapkan teori linguistik moden ke atas objek-objek dan kegiatan seluruh kehidupan manusia. Strukturalisme telah menjadi satu gerakan pemikiran budaya yang membina satu sistem iaitu sistem tanda. Sistem tanda ini hanyalah dilihat dalam teks. Persetentangan duaan yang berlaku dalam teks akan memberi makna (tanda) yang akan mamahamkan pembaca.

No comments:

Post a Comment

Jejak Dalam Jeda

My Own Modules

For a long time, I have dedicated my Sundays to generating and developing exercises and modules for BM Lower Secondary, SPM, and STPM. I hav...