19 Mei 2025
Pagi ini saya mulakan hari dengan briswalk selama 1 jam 34 minit, sejauh lebih kurang 6.6 km. Cuaca agak nyaman—cukup untuk buatkan langkah terasa ringan. Usai berjalan, saya singgah sebentar di GPS untuk beli eye drops. Mata ni sejak dua tiga hari asyik berasa kering.
Lepas urusan kecil tu selesai, saya teruskan rutin saya ke Old Town Coffee. Hari ini ada sesi bimbingan Bahasa Melayu SPM dengan seorang pelajar baharu yang akan duduki kertas SPM pada bulan Julai nanti. Kami pilih duduk di satu sudut yang agak tenang—tempat kegemaran saya bila nak mengajar sambil menikmati secawan kopi panas.
Tengah khusyuk mengajar, mata saya sempat tertangkap sepasang suami isteri duduk tak jauh dari kami. Mereka kelihatan begitu mesra, berbual sambil menikmati minuman masing-masing. Tapi sesuatu buat saya sedikit tersentak—si isteri tu beberapa kali menjeling ke arah saya. Saya buat tak tahu. Fokus saya masih pada pengajaran.
Beberapa minit kemudian, selesai mereka minum, wanita itu bangun dan perlahan-lahan datang menghampiri meja saya. Dengan senyum yang cukup mesra, dia bertanya, “Encik guru dari Sekolah Tinggi, bukan?”
Saya angguk perlahan sambil cuba mengenal pasti wajahnya. Dan kemudian dia memperkenalkan diri—rupa-rupanya dia bekas pelajar saya, pernah saya ajar Bahasa Melayu di Tingkatan 5 Hijau, sekitar tahun 1993. Namanya Parameswary. Sekarang katanya sudah berusia 48 tahun. Lama sungguh masa berlalu.
Kami berbual seketika, bertanya khabar, sebelum dia meminta diri dan berlalu pergi bersama suaminya. Jujur saya katakan, saya tak begitu dapat cam wajahnya dengan jelas. Tapi perasaan dalam hati... sungguh luar biasa. Rasa dihargai. Rasa terharu. Rasa syukur yang tak terkata.
Kelas diteruskan seperti biasa sampai jam 12.15 tengah hari. Dan satu lagi momen manis—minuman kami hari ini ditaja oleh abang kepada pelajar saya, yang juga merupakan bekas pelajar saya dahulu. Saya hampir terdiam seketika. Hati ni benar-benar tersentuh.
Sejak semalam, beberapa orang bekas pelajar datang menegur. Ada yang singgah sebentar, ada yang sempat duduk berbual. Semua tu terasa seperti satu peringatan lembut—bahawa mungkin jasa seorang guru tidak selalu disebut-sebut, tapi tetap hidup dalam kenangan dan hati mereka yang pernah diajar.
Hari ini, saya benar-benar bersyukur. Diberi peluang untuk terus merasa detik-detik begini. Detik yang buat saya tersenyum seorang diri selepas semuanya selesai.
No comments:
Post a Comment