Thursday, July 17, 2025

Relevansi Gagasan Freire Dlm Karya Shakespeare





Semalam semasa saya mengajar sekumpulan pelajar di Pulau Pinang, tiba-tiba muncul satu idea dalam fikiran saya. Kenapa tidak saya kaitkan karya William Shakespeare dengan pemikiran tokoh yang saya kagumi, Paulo Freire?

Pelajar-pelajar saya di sana semuanya fasih berbahasa Inggeris. Tapi latar belakang mereka berbeza – ada yang datang dari keluarga B40, dan ada juga yang daripada keluarga yang sangat berada. Apabila saya melihat wajah-wajah pelajar B40 ini, saya terus teringat konsep "the oppressed people" yang selalu disebut oleh Freire dalam karya-karyanya.

Lalu saya terfikir, sebagai guru, mengapa tidak saya cuba bandingkan pemikiran Freire ini dengan babak-babak dalam karya Shakespeare? Saya kongsikan idea itu dengan pelajar-pelajar, dan mereka kelihatan sangat fokus dan berminat untuk mendengarnya.

Saya ambil beberapa adegan daripada karya Shakespeare yang masih saya ingat sejak zaman sekolah menengah, dan saya jelaskan bagaimana ini boleh dikaitkan dengan gagasan Freire. Walaupun Shakespeare hidup beratus-ratus tahun lebih awal daripada Freire, saya dapati ada persamaan yang ketara.

Freire percaya pendidikan seharusnya membuka mata dan menyedarkan manusia tentang penindasan. Dalam drama Shakespeare pula, watak-watak seperti Caliban dalam The Tempest atau Edmund dalam King Lear memperlihatkan bagaimana orang biasa sering dipinggirkan dan ditindas oleh mereka yang berkuasa.

Freire juga menekankan pentingnya dialog – satu proses di mana manusia berbicara dan membina kesedaran. Dalam karya Shakespeare pun, watak-wataknya banyak bercakap, menyoal dan merenung nasib mereka. Itu juga satu bentuk kesedaran diri yang mendalam.

Jadi, saya simpulkan bahawa membaca karya Shakespeare dengan pandangan Freire bukan saja menyeronokkan, tapi sangat membuka minda. Hal ini  membantu kita memahami kuasa, ketidakadilan dan bagaimana manusia boleh bangkit mengubah nasib mereka. Karya sastera bukan sekadar hiburan, tapi juga satu cermin untuk memahami dunia.

No comments:

Post a Comment

Jejak Dalam Jeda

My Own Modules

For a long time, I have dedicated my Sundays to generating and developing exercises and modules for BM Lower Secondary, SPM, and STPM. I hav...