Ketika itu, usia saya masih belasan tahun, dan kehidupan di estet penuh dengan warna-warni kenangan. Lagu-lagu dari zaman tersebut bukan sekadar hiburan, malah menjadi sebahagian daripada latar hidup kami. Kebanyakan lirik lagu sudah saya hafal, maka tanpa sedar saya turut menyanyi bersama di sepanjang perjalanan — bukan sahaja untuk menghilangkan rasa mengantuk, tetapi juga sebagai satu bentuk penghayatan terhadap nostalgia silam yang menyentuh jiwa.
Saya singgah sebentar di kawasan rehat Tapah untuk membeli nasi lemak McD sebagai alas perut, sekadar mengisi tenaga untuk baki perjalanan. ‘Perut’ kereta pula sudah sedia padat dengan pelbagai barangan yang dibawa pulang dari Kuala Lumpur. Oleh sebab muatan yang agak berat, saya memilih untuk memandu dengan lebih berhati-hati dan perlahan. Perjalanan mengambil masa kira-kira lima jam sebelum tiba di rumah.
Apa yang menarik, lagu-lagu lama ini bukan sekadar sedap didengar. Liriknya sarat dengan kiasan dan metafora puitis. Secara tersurat, banyak menggambarkan keindahan alam — gunung, sungai, langit dan bintang. Namun jika diteliti maknanya yang tersirat yang berkisar tentang percintaan yang berputik antara seorang jejaka dan gadis, dibalut indah dengan bahasa yang halus dan penuh perasaan. Lagu-lagu inilah yang terus hidup dalam ingatan, menghubungkan saya dengan masa lalu yang kini menjadi khazanah kenangan.
No comments:
Post a Comment