Sejak menjalani sesi fisioterapi pada hari Isnin yang lalu,
saya mengalami kesakitan pada tangan kanan. Keadaan menjadi paling teruk ketika
waktu tidur dan sejurus selepas bangun pagi. Namun, sejak dua hari kebelakangan
ini, kesakitan tersebut semakin menjadi-jadi dan dirasai sepanjang hari. Hari
ini merupakan hari ketiga saya menanggung kesakitan yang tidak menentu ini.
Dalam keadaan yang masih sakit, saya tetap meneruskan rutin
harian termasuk mengajar dan melakukan aktiviti brisk walk. Pagi ini, semasa
berjalan, saya cuba melakukan beberapa senaman ringan untuk tangan dan bahu,
namun kesannya tidak memberangsangkan. Rasa sakit yang mencucuk-cucuk masih
berterusan. Keadaan menjadi lebih teruk ketika mandi, apabila tangan kanan
menjadi terlalu sukar untuk digunakan, terutama semasa membersihkan badan.
Hari ini saya berjalan sejauh 5.5 kilometer selama 1 jam 16
minit. Saya terpaksa memperlahankan langkah kerana jika berjalan terlalu laju,
kesakitan akan bertambah. Saya sendiri tertanya-tanya, bilakah agaknya
kesakitan ini akan berakhir?
Pada malam ini tiada kelas kerana kedua-dua orang pelajar
saya kurang sihat. Sekurang-kurangnya saya dapat berehat seketika daripada
rutin yang memerlukan banyak tenaga fizikal.
No comments:
Post a Comment