Tuesday, July 29, 2025

Enam Hari yang Sarat dengan Kenangan



Sudah enam hari saya berada di Kuala Lumpur untuk membantu anak dan keluarganya membuat persiapan sebelum berangkat ke Norway. Tugas utama saya sepanjang tempoh ini ialah menjaga cucu sulung – mandikannya, menemaninya tidur, membawanya berjalan-jalan, bermain bersamanya dan membacakan buku cerita. Saya melakukannya dengan penuh rela hati walaupun mengalami masalah frozen shoulder. Namun, segala kepayahan itu seolah-olah hilang setiap kali saya terpandang wajah manis cucu perempuan yang sentiasa menghadiahkan senyuman tulus.

Pagi ini amat berat untuk melepaskan mereka. Seawal pukul 5 pagi saya sudah bangun dan kami bertolak ke KLIA pada jam 6.30 pagi. Kami tiba sekitar 7.10 pagi. Selepas menghantar mereka, saya memarkir kereta dan kemudian menemani anak serta cucu-cucu sehingga mereka selesai daftar masuk dan menuju ke terminal pelepasan. Perasaan sayu sukar digambarkan. Hampir setahun saya bersama cucu sulung dan lapan bulan bersama cucu perempuan. Walaupun kami tidak tinggal serumah, saya dan OR kerap datang melawat dan meluangkan masa bersama mereka.

Selesai urusan di KLIA, kami terus ke Klang untuk menziarahi mak cik yang sedang sakit. Seterusnya, kami bergerak ke Villa U Thant untuk mengemas rumah dan menunggu orang datang mengambil barangan. Saya perlu berada di sini sehingga esok.

Sekembali nanti, saya harus menggantikan tujuh atau lapan kelas yang tertangguh. Namun, semua ini adalah sebahagian daripada perjalanan kehidupan – penuh tanggungjawab, kasih sayang, dan pengorbanan yang tidak ternilai.

No comments:

Post a Comment

Jejak Dalam Jeda

My Own Modules

For a long time, I have dedicated my Sundays to generating and developing exercises and modules for BM Lower Secondary, SPM, and STPM. I hav...