Semasa saya menyambung pengajian Sarjana (MA) dalam bidang Kesusasteraan di USM pada tahun 1998, saya telah mempelajari beberapa teori sastera yang sangat membantu saya memahami dunia pendidikan dengan lebih mendalam, terutamanya pendidikan untuk golongan biasa dan terpinggir. Tiga teori utama yang banyak mempengaruhi cara saya berfikir ialah Eksistensialisme, Fenomenologi, dan Marxisme.
Pertama, teori Eksistensialisme dikembangkan oleh Jean Paul Sartre (1905–1980), seorang ahli falsafah dari Perancis. Teori ini membuka mata saya tentang erti pendidikan yang sebenar. Bagi saya, pendidikan bukan hanya soal lulus peperiksaan atau ikut arahan guru, tetapi mesti datang daripada kebebasan dan keikhlasan diri pelajar itu sendiri. Kita mesti melahirkan manusia yang tahu siapa dirinya dan berjuang untuk dirinya sendiri — bukan manusia yang hidup hanya untuk menyenangkan orang lain. Oleh itu, saya menolak pendekatan pendidikan ‘gaya bank’, iaitu guru hanya mengisi kepala pelajar dengan maklumat tanpa membina pemikiran mereka. Sebaliknya, saya percaya pelajar mesti dilibatkan dalam proses memahami dan berfikir sendiri. Hanya dengan cara ini barulah seseorang itu boleh menjadi bebas dan merdeka dalam pemikiran.
Kedua, teori Fenomenologi yang diperkenalkan oleh Edmund Husserl (1859–1938) dari Jerman. Ada orang anggap pandangan ini terlalu ideal, sebab ia banyak fokus kepada kesedaran manusia. Namun bagi saya, kesedaran diri sangat penting untuk faham apa yang berlaku di sekeliling kita. Kalau kita sedar akan situasi hidup kita — tentang kemiskinan, ketidakadilan, atau peluang yang tidak sama — barulah kita boleh bangkit untuk ubah keadaan itu. Dengan memahami kesedaran seseorang, kita juga boleh faham kenapa seseorang itu bertindak seperti yang dia lakukan.
Ketiga, teori Marxisme yang dibawa oleh Karl Marx (1818–1883), juga dari Jerman. Teori ini mengajar saya bahawa pendidikan boleh menjadi alat untuk membebaskan masyarakat daripada penindasan. Kita perlu membina masyarakat yang adil dan terbuka — masyarakat yang tidak dikuasai oleh golongan tertentu sahaja. Pendidikan mesti membuka ruang untuk semua orang bersuara dan mengambil bahagian dalam kehidupan masyarakat dan negara.
Kerana kesedaran inilah, saya bersama beberapa orang bekas pelajar telah menubuhkan sebuah NGO yang dinamakan Pertubuhan Pembangunan Ilmu Malaysia. Tujuan utama NGO ini ialah untuk menyedarkan masyarakat tentang pentingnya pendidikan, dan membantu membebaskan mereka daripada segala bentuk halangan yang menghalang mereka daripada maju dan bebas berfikir.
No comments:
Post a Comment