Hari ini saya ingin berkongsi satu pengalaman yang benar-benar menyentuh hati saya.Selepas lebih lima tahun bersara daripada dunia pendidikan secara rasmi, saya akhirnya kembali "berdiri di hadapan kelas" — kali ini secara dalam talian — untuk menganjurkan Seminar Teknik Menjawab Pengajian Am STPM Semester 2. Bersyukur, seramai 99 orang pelajar dari seluruh Malaysia menyertai sesi ini. Ada pelajar yang ingin masuk, tepai saya tidak menerima sebab saya asyik mengajar
Terus terang, saya sangat terharu. Ini seminar pertama saya sejak saya tinggalkan rutin mengajar, dan saya tak sangka sambutannya begitu hangat. Walaupun pada penghujung seminar hanya tinggal 78 pelajar, saya tetap rasa bersyukur. Saya tahu dalam dunia atas talian, turun naik jumlah peserta itu perkara biasa. Mungkin ada yang keluar kerana saya bergerak terlalu laju, atau mungkin mereka mengharapkan sesuatu yang lebih spesifik seperti “soalan ramalan” — tetapi apa yang saya kongsikan hanyalah isu-isu penting yang berlaku dalam negara sepanjang 2023 dan 2024. Saya yakin dan sangat berharap salah satu daripadanya akan muncul dalam peperiksaan sebenar nanti.
Kerana terlalu gembira dengan sambutan ini, saya terus berkongsi cerita kepada rakan-rakan di grup WhatsApp “Good Morning”, dalam Facebook, dan juga kepada bekas rakan sekerja yang masih aktif mengajar. Saya turut promosikan seminar ini dua hari sebelum berlangsung, dan ternyata maklumat itu sampai ke pelajar-pelajar dari Johor, Selangor, Taiping, Kedah dan Pulau Pinang. Cuma kawasan Pantai Timur, Sabah dan Sarawak belum sempat saya jejaki — sebab saya tak ada kenalan guru di sana buat masa ini.
Apa pun, semangat pelajar-pelajar yang hadir benar-benar membakar semula semangat saya sebagai pendidik. Seminar ini bukan sekadar sesi pengajaran, tapi juga satu peringatan kepada saya bahawa ilmu masih diperlukan, dan guru walaupun sudah bersara, tidak pernah ‘pencen’ daripada memberi.
Terima kasih kepada semua pelajar yang hadir dan memberi sokongan.
Selamat menjawab peperiksaan — dan semoga kalian semua berjaya dengan cemerlang.
No comments:
Post a Comment