Monday, July 14, 2025

Keputusan Berhenti Mendapatkan Rawatan Fisioterapi Swasta



Saya telah membuat keputusan untuk berhenti mendapatkan rawatan fisioterapi di swasta. Keputusan ini telah saya maklumkan kepada anak bongsu, dan beliau bersetuju dengan pendirian saya.

Alasan utama saya membuat keputusan ini ialah kerana saya merasakan layanan yang diberikan kurang memuaskan. Para petugas kelihatan seolah-olah tidak begitu ambil peduli. Mereka hanya mengarahkan saya melakukan beberapa senaman, kemudian mereka keluar. Tidak memastikan sama ada saya lakukannya dengan betul atau tidak.  Fisioterapis juga sering memberikan maklumat yang sama berulang kali. Ketika saya memaklumkan bahawa tangan saya masih tidak dapat diangkat ketika berbaring, dia sendiri tidak pasti akan puncanya.

Saya juga mendapati senaman yang diberikan terlalu stereotaip dan tidak sesuai dengan keadaan kesakitan saya. Tambahan pula, kos setiap sesi adalah RM80, manakala lawatan pertama dikenakan bayaran RM105. Kos tersebut tidak setimpal dengan rawatan yang saya terima.

Pada pagi 14 Julai, jam 8.30 pagi, saya menghadiri janji temu di Hospital Bukit Mertajam. Kali ini, saya dirawat oleh seorang fisioterapis bernama Encik Sugu. Beliau membawa saya masuk ke bilik rawatan dan menjalankan beberapa pemeriksaan secara terperinci. Menurut beliau, masalah saya bukanlah disebabkan oleh impingement, rotator cuff, atau frozen shoulder. Sebaliknya, beliau menjelaskan bahawa tendon saya terhimpit di bawah tulang, yang secara umum hampir menyerupai impingement.

Saya dimaklumkan bahawa ketegangan pada bahagian bahu menyebabkan tendon lengan saya sering berasa sakit. Saya berada di bilik rawatan hampir satu jam setengah. Encik Sugu meminta saya meniarap dan melakukan urutan pada bahagian belakang bahu. Ada ketikanya rasa sakit adalah biasa, dan ada kalanya agak menyengat.

Beliau juga mengajar beberapa senaman yang perlu dilakukan di rumah secara konsisten. Menurut beliau, jika dilakukan dengan betul dan berdisiplin, kesakitan ini boleh pulih dalam tempoh dua minggu. Empat perkara utama yang ditekankan ialah:

  1. Meletakkan pek ais (ice pad) pada bahagian bahu yang sakit, kemudian di bahagian leher.

  2. Membawa tangan kanan ke belakang badan dan menariknya ke arah kiri menggunakan tangan kiri.

  3. Melakukan gerakan yang sama tetapi dengan tangan kanan diangkat ke atas.

  4. Menarik leher ke dalam/ke belakang  dan menahannya selama 5 hingga 6 minit; setiap gerakan perlu diulang sebanyak 13 kali.

Selepas senaman tersebut, beliau menggunakan mesin rangsangan elektrik (TENS) untuk melonggarkan radang, diikuti dengan rawatan pek panas (hot pad) pada bahagian leher. Seterusnya, beliau menjalankan rawatan ultrasound dan saya menjalani senaman menarik beban dari atas ke bawah dan sebaliknya selama 10 minit.

Saya menyatakan hasrat untuk mendapatkan rawatan lanjut bersama beliau, namun beliau memaklumkan bahawa jadual kerja telah diagihkan dan adalah sukar untuk memastikan perkara itu. Walau bagaimanapun, beliau menyarankan saya menghubungi kaunter pendaftaran pada lawatan seterusnya bagi membuat permintaan khas.

Secara keseluruhannya, saya amat berpuas hati dengan layanan dan rawatan yang saya terima di Hospital Bukit Mertajam – lebih-lebih lagi kerana semuanya diberikan secara percuma. Saya berharap agar kesakitan ini akan sembuh dengan cepat.

No comments:

Post a Comment

Jejak Dalam Jeda

My Own Modules

For a long time, I have dedicated my Sundays to generating and developing exercises and modules for BM Lower Secondary, SPM, and STPM. I hav...