Wednesday, August 6, 2025

Kenangan Luka Dan Nostalgia Ladang Badenoch, Baling, Kedah












Sudah lebih 50 tahun berlalu, namun memori kehidupan di estet getah suatu ketika dahulu tetap hidup subur dalam ingatan. Masa berlalu dengan pantas, tetapi ada peristiwa tertentu yang kekal terpahat dalam benak saya – seolah-olah baru semalam  berlaku.

Saya belajar di sekolah Tamil di sini pada tahun 1966 hingga 1971. Cuma tertinggal bangunan darjah 1 saya, manakala bangunan bilik darjah 2 hingga 6 sudahpun dirobohkan dan dibina semula di dalam kawasan getah. Dulu dari bangunan darjah 1 ke bangunan darjah lain, kami cuma berjalan kaki sahaja, lebih kurang 100 meter. Kini tidak dapat dibolosi kerana terdapat sebuah gate yang berkarat dan ditumbuhi semak. Bangunan darjah 1 ini disambung dengan bangunan kuil. Oleh sebab itu bangunan itu kini digunakan oleh kuil sebagai bilik stor mereka. Di bangunan inilah saya mula mempelajari abjad dalam bahasa Melayu dan Tamil serta angka.

Kedua-dua bangunan sekolah Tamil dan kuil telah dibina oleh seorang Tuan Penjajah, yang potret beliau masih digantung dalam ruang legar kuil dengan dikalungkan bunga. Kalungan bunga ini sebagai satu penghargaan dan rakaman terima kasih oleh penduduk India di ladang atas sumbangan mendiang. Saya berdoa kesejahteraan keluarga mendiang, anak-anaknya, cucu-cucunya dan cicit-cicitnya. Jika tidak tersilap saya, beliau dari Scotland kerana di Scotland memang terdapat sebuah tempat bernama Badenoch. Saya tidak pasti. Cuma dugaan sahaja.Tanpa sumbangan beliau, kami tidak dapat mengenali huruf dan angka. Saya produk pertama sekolah ini menjadi guru terlatih pertama, siswazah pertama dan Ph D pertama. Sebagai mengenang jasa estet ini, saya telah pun menyumbang tenaga dan intelek saya dengan mengendalikan kelas bimbingan dari tahun 1977 hingga 1991,. Pada tahun 1992 saya sudah berpindah ke BM . Mulai saat itu saya tidak dapat berkomunikasi dengan mereka.

Namun tahun ini pada 8 Ogos 2025, kali pertama saya pulang ke tempat tumpah darah saya untuk menyertai satu upaca keagamaan. Ini buakn sahaja upacara tetapi menjadi medan untuk saya dapat berjumpa kenalan lama dan bekas pelajar-pelajar saya. Hati berasa girang dan berpuas selepas bersembahyang, makan dan berborak-borak dengan semua kenalan.

Saya masih ingat, suatu petang ketika bermain kabadi bersama rakan-rakan, saya tidak sengaja melanggar seorang budak perempuan istimewa. Tubuh kecilnya terjatuh ke dalam sebuah longkang kecil berhampiran. Dalam kekalutan itu, saya sendiri turut terjatuh, dan tebing longkang itu mencederakan paha saya. Kesakitan itu memaksa saya dibawa segera ke hospital kumpulan (group hospital) yang terletak berhampiran. Di sana, seorang jururawat lelaki – Dresser Panicker namanya – membersihkan luka dan menyapu ubat. Beliau berpesan agar saya tidak menggerakkan kaki selama beberapa hari.

Namun, tanpa diduga, saya hilang keseimbangan setiap kali cuba berdiri. Dan pada suatu pagi, ketika mandi di bahagian belakang rumah, saya terjatuh sekali lagi. Ketika itu, saya tidak pasti sama ada saya di Tingkatan 2 atau 3 – yang saya ingat, saya bersekolah sesi petang. Akibat kecederaan itu, saya terpaksa tidak hadir ke sekolah selama beberapa hari.

Sejak kejadian tersebut, saya sering menjadi bahan ejekan rakan-rakan. Mereka menyindir saya kerana melanggar seorang budak perempuan yang lemah dan orang kelainan upaya (OKU). Kata mereka, “Kalau melanggar budak istimewa pun awak boleh cedera, bayangkan apa jadi kalau awak terlanggar orang yang kuat dan sasa badannya?” Kata-kata itu menyakitkan, namun saya hanya diam dan menelan semuanya sebagai sebahagian daripada pengalaman hidup.

Hari ini, apabila saya pulang ke tempat asal, saya masih melihat longkang kecil itu – masih wujud seperti dulu. Bezanya, saya kini sudah dewasa, dan usia juga telah mengajar saya bahawa setiap luka, baik fizikal mahupun emosi, membentuk siapa kita hari ini.

No comments:

Post a Comment

Jejak Dalam Jeda

My Own Modules

For a long time, I have dedicated my Sundays to generating and developing exercises and modules for BM Lower Secondary, SPM, and STPM. I hav...