1. Dalam politik tidak ada yang mustahil. Semuanya mungkin. Pada Pilihan Raya Umum 1969, Umno dan Pas musuh ketat tetapi pada PRU 1974 mereka berpakat.
2. Pada tahun 1969, di luar bandar Pas membelasah Umno dengan sangat teruk. Di bandar Gerakan dan DAP adalah raja.
3. Hari ini, Gerakan bersama Perikatan Nasional manakala Umno dan DAP berpeluk-pelukan dalam Kerajaan Madani. Pas pun pernah berjinak-jinak dengan DAP tetapi tidak disukai oleh penyokong sendiri.
4. PRU 1969 diadakan pada 10 Mei dan pada 13 Mei tercetus rusuhan kaum di Kuala Lumpur.
5. Parlimen digantung dan digantikan oleh Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) (National Operation Council/NOC).
6. Pada 20 Februari 1971 MAGERAN dibubarkan dan Almarhum Abdul Razak Hussein mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Almarhum Tunku dan menubuhkan semula Kabinet.
7. Langkah politik Abdul Razak yang terawal sebagai Perdana Menteri adalah mengubah Perikatan menjadi Barisan Nasional (BN) pada 1 Jun 1974 dan melancarkan Dasar Ekonomi Baru (DEB).
8. BN bukan sekadar penjenamaan semula Perikatan tetapi strategi pembinaan semula politik, ekonomi dan perpaduan negara.
9. Trauma (dibunyika tro-ma) kehakisan kuasa Melayu dan ancaman perkauman ekstrim menyebabkan sebahagian besar parti-parti pembangkang, antaranya Pas, Gerakan dan PPP, bersetuju menyertai BN melalui Pilihan Raya Umum 1974.
10. BN menang besar dengan membolot 135 daripada 154 kerusi Parlimen. Daripada jumlah itu, Umno dapat 62 (tambah 10), MCA 19 (+6), Pas 13 (+1), Usno 13, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu lapan, SUPP 8 (+2), Gerakan lima (-3), MIC empat (+2), Sabah Chinese Association tiga dan PPP satu.
11. Di pihak pembangkang, DAP mendapat sembilan kerusi - berkurangan empat, Sarawak National Party sembilan dan Malaysian Social Justice Party, satu.
12. Bagi banyak orang, eksperimen itu tidak masuk akal, khususnya kerana permusuhan besar antara Umno dan Pas, dan antara orang Melayu dengan bukan Melayu.
13. Ada yang benar kepada andaian itu. Apabila Abdul Razak meninggal dunia pada awal 1976, pada tahun berikutnya, pengganti beliau, Almarhum Hussein Onn, menyingkirkan Pas.
14. Natijahnya, Melayu susah bersatu dan mudah berpecah-belah. Umno berpecah menyebabkan tertubuhnya Pas pada 1951, Semangat 46 pada 1988 dan Bersatu pada 2017. Pas mengalami dua perpecahan besar. Kali pertama, pada 1977, tertubuh Berjasa dan kali kedua, pada 2015, tertubuh Amanah.
15. Antara pendorong utama gabungan Umno-Pas dalam BN adalah kemerosotan kuasa Melayu akibat persaingan Umno dan Pas dalam PRU 1969. Serentak dengan itu, orang Cina meninggalkan MCA dan India meninggalkan MIC bagi menyokong DAP dan Gerakan. Gerakan adalah serpihan MCA dan DAP jelmaan PAP, Singapura.
16. Perkongsian singkat Umno-Pas memberi ruang kepada Umno mendapat balik kedudukan dominannya tanpa menekan Pas. Kejayaan besar Pas adalah bertapak di rancangan-rancangan Felda dan institusi-institusi pengajian tinggi.
17. Dilajukan beberapa dekad ke hadapan, orang Melayu membayar harga yang mahal dalam usaha menamatkan penyalahgunaan kuasa oleh Mohd Najib Abdul Razak dalam PRU 2018.
18. Bukan Mohd Najib seorang, tetapi banyak orang Melayu dan institusi yang diterajui oleh orang Melayu menjadi korup kerana kuasa dan nafsu.
19. Setelah hilang kuasa majoriti mulai 2018, barulah kedengaran suara-suara yang mengatakan orang Melayu perlu kembali bersatu sekali pun dalam bentuk paling janggal dan di luar dugaan.
20. Antaranya adalah menghidupkan semula kerjasama Pas dan Umno seperti pada tahun 1974 dan, sekali lagi, ketika menjatuhkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2020.
21. Umno tidak ada banyak pilihan. Ia sudah kalah kepada Perikatan Nasional (PN) dan semakin lemah. Keputusan pilihan raya dewan undangan di enam buah negeri pada tahun 2023 membuktikan dengan sangat jelas yang ia akan terus ditolak jika terus bekerjasama dengan DAP melalui PH.
22. Banyak ahli dan penyokong Umno tidak lagi percaya kepada cakap-cakap Presiden mereka, Ahmad Zahid Hamidi, setelah beliau mungkir janji mengenai "No Anwar, no DAP, no Bersatu".
23. Tetapi, oleh kerana politik tetap politik, tidak kira siapa pemainnya, maka timbul cakap-cakap, kalau PH boleh terima Ahmad Zahid mengapa PN tidak boleh terima beliau?
24. Malahan, Pas dan Bersatu pernah berpakat dengan beliau ketika menjatuhkan Kerajaan PH melalui "Sheraton Move" dan menyokong pemerintahan Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob.
25. Soalannya, adakah ini perancangan sebenar atau sekadar teori dan khayalan musuh-musuh Anwar sahaja?
26. Yang percaya kepada teori "Perdana Menteri sementara" ini melihat dan menguar-uarkan pelbagai petanda bagi membuktikan yang Kerajaan Madani akan jatuh atau boleh dijatuhkan.
27. Mereka merujuk kepada pergolakan dalam PKR, lompatan Tengku Zafrul Abdul Aziz dari Umno ke PKR, walaupun diprotes oleh Umno, dan kehadiran Ketua Armada Bersatu, Hilman Idham, bersama Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh, dalam perhimpunan mempertahankan Jalur Gemilang di Kepala Batas, Pulau Pinang baru-baru ini.
28. Malah ada yang berkata, persetujuan Dr Mahathir Mohamad dan Ahmad Zahid menarik balik saman fitnah ke atas satu sama lain pada 22 Julai lalu itu adalah satu "signal" penting ke arah matlamat tersebut.
29. Kesimpulannya, sama ada rancangan ini telah mencapai peringkat pelaksanaan atau sekadar teori, Anwar tahu yang ada usaha menjatuhkan beliau sebelum PRU ke-16 ini.
30. Oleh sebab itulah beliau nampak memberi muka kepada Ahmad Zahid dan Umno, misalnya dengan melantik Naib Presiden Umno, Johari Abdul Ghani, memangku jawatan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang dikosongkan oleh Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad. Jawatan Menteri Ekonomi yang dikosongkan oleh Rafizi dipangku oleh Menteri Kewangan ll, Amir Hamzah Azizan.
31. Ini mungkin bertujuan mengukuhkan ikatan dengan Umno supaya sebarang usaha pembangkang memikat parti itu tidak akan berhasil dan bagi mengubati luka akibat lompatan Tengku Zafrul.
32. Dan semalam, 18 Ogos, 12 parti pembangkang bersetuju membentuk pakatan longgar bagi memperjuangkan isu-isu yang mereka dakwa gagal dilaksanakan oleh Kerajaan Madani, termasuk janji-janji reformasi.
Sekian. Terima kasih.
No comments:
Post a Comment