Paulo Freire, Marhaen, dan Jalan Saya dalam Pendidikan
Saya masih ingat pertama kali saya membaca Pedagogy of the Oppressed karya Paulo Freire. Ketika itu saya sudah pun terlibat dalam kerja-kerja khidmat sosial sejak tahun 1970-an—tetapi buku inilah yang menyusun semula cara saya melihat dunia. Ia bukan sekadar buku teori pendidikan; ia adalah cermin yang memperlihatkan saya wajah sebenar ketidakadilan yang berlaku di sekeliling, malah dalam sistem pendidikan itu sendiri.
Freire menulis untuk mereka yang tertindas. Tetapi dalam proses itu, dia juga menulis untuk kita semua—yang kadangkala tidak sedar bahawa kita hidup dalam sistem yang menidurkan pemikiran. Dia mengkritik sistem pendidikan konvensional yang beliau panggil sebagai “banking model”—guru memberi, pelajar menerima, tanpa banyak soal. Pelajar dianggap seperti bekas kosong yang menunggu diisi, bukan sebagai manusia yang punya potensi berfikir dan mencipta makna.
Membaca Freire buat pertama kali, saya seperti dicelikkan semula. Barulah saya benar-benar memahami denyut nadi masyarakat marhaen—penduduk estet, anak-anak pekerja ladang, dan keluarga miskin bandar yang saya temui dalam program-program bimbingan dan aktiviti luar kelas. Saya terinspirasi, bukan sedikit, tetapi sampai ke tulang sumsum.
Pada tahun 1990-an, saya menjumpai versi terjemahan Pedagogy of the Oppressed dalam Bahasa Melayu. Walaupun sudah lebih dua dekad saya terlibat dalam pendidikan dan khidmat sosial, saya masih merasa terpukau dengan kejelasan pemikiran Freire. Saya terjumpa buku ini di Perpustakaan Awam Pulau Pinang, dan saya berjanji pada diri sendiri untuk memilikinya sebagai simpanan peribadi. Buku ini bukan hanya relevan pada zamannya—ia sentiasa relevan, bahkan lebih mendesak untuk dibaca hari ini.
Dari Ladang ke Universiti
Semangat Freire mendorong saya ke rumah-rumah pelajar sekolah rendah yang sering ponteng. Kebanyakan mereka anak pekerja ladang getah—ikut ibu bapa mereka ke kebun, bukan ke sekolah. Saya dan beberapa guru lain pergi sendiri ke rumah mereka, bercakap dengan ibu bapa, memujuk agar anak-anak diberi peluang ke sekolah.
Saya pernah menyelaras pengangkutan bagi membawa pelajar dari ladang ke sekolah. Sekolah saya waktu itu agak jauh dari kawasan estet. Saya tahu jika saya tidak bantu, ramai anak-anak itu akan terus tinggal di rumah atau di ladang. Selepas tamat sekolah, saya kembali ke rumah—yang juga terletak di ladang getah—dan terus membimbing pelajar dalam pelajaran mereka.
Ketika di Universiti Malaya pula, setiap Sabtu dan Ahad saya mengadakan kelas bimbingan untuk pelajar-pelajar dari keluarga miskin di sekitar Petaling Jaya dan Kuala Lumpur. Program ini dijalankan dengan kerjasama NGO seperti CHILD, EWRF dan SMC. Saya tidak berani mengaku mampu menyelesaikan masalah besar kaum India di bandar, tetapi sekurang-kurangnya saya boleh bantu dalam satu aspek: pelajaran. Saya percaya apa yang Freire percaya—bahawa hanya pendidikan yang membebaskan dapat mengubah nasib golongan marhaen.
Di Kelas dan Di Sekolah: Mencabar Tradisi
Bila saya mula memegang jawatan dalam pentadbiran sekolah, saya cuba terapkan semangat dialog dalam pengajaran guru-guru. Saya sering tegur rakan guru yang hanya mengajar secara satu hala—bercakap, menulis di papan putih, dan mengarahkan pelajar untuk menyalin dan menghafal. Saya yakin, pelajar perlu lebih dari itu. Mereka perlu diberi ruang bertanya, mengkritik, mencabar. Saya mahu mereka belajar untuk berfikir, bukan sekadar mengikut.
Sebagai Ketua Panitia, saya galakkan guru-guru muda supaya beri peluang kepada pelajar untuk membentang idea mereka sendiri dalam kelas. Kita tak boleh sekat soalan pelajar hanya kerana kita takut hilang kawalan. Kalau kita serius mahu melahirkan pelajar yang berani, kita sendiri mesti berani melepaskan sedikit kuasa dan memberi ruang untuk suara pelajar kedengaran.
Saya juga menekankan pentingnya menjelaskan rasional di sebalik peraturan atau arahan. Kita tidak mahu pelajar sekadar menurut. Kita mahu mereka faham kenapa mereka harus bertindak demikian. Freire mengingatkan bahawa pendidikan tidak pernah neutral. Ia sama ada membebaskan atau menindas.
Menelusuri Cabaran di Sekolah Menengah
Pengalaman saya menunjukkan bahawa apabila pelajar melangkah ke sekolah menengah, mereka sering merasa lebih ‘bebas’. Di sekolah rendah, mereka lebih terkawal—kelas kecil, guru rapat dengan pelajar. Tetapi di sekolah menengah, guru-guru dibebani dengan pelbagai tugas: mengurus persatuan, kelab, sukan, malah kerja perkeranian.
Dalam kekalutan itu, satu dua pelajar yang bermasalah boleh terlepas pandang. Maka pendekatan Freire—mendengar, berdialog, memahami latar belakang pelajar—menjadi semakin penting.
Epilog: Freire dan Masa Depan Pendidikan Kita
Pedagogy of the Oppressed bukan sekadar buku pendidikan. Ia adalah sebuah manifesto untuk kebebasan. Saya percaya, buku ini wajar dibaca oleh setiap guru di negara ini—bukan untuk menjadi cendekiawan, tetapi untuk menjadi pendidik yang benar-benar menyentuh kehidupan pelajarnya.
Kita perlu lahirkan pelajar yang sedar, berani, dan peduli. Pelajar yang tidak hanya mengejar A, tetapi juga keadilan. Pelajar yang tidak hanya menghafal fakta, tetapi juga mahu mengubah dunia.
Kerana seperti kata Paulo Freire:
“Education either functions as an instrument that is used to facilitate integration of the younger generation into the logic of the present system and bring about conformity… or it becomes the practice of freedom.”
No comments:
Post a Comment