Monday, June 16, 2025

Surat Pembaca



Jalan Cerita Tidak Masuk Akal dan Tidak Berperikemanusiaan

Tuan/Puan Editor,

Saya baru-baru ini membaca sebuah cerpen dalam sebuah antologi yang sangat mengecewakan saya. Jalan ceritanya bukan sahaja tidak masuk akal, malah seolah-olah memperlekehkan nilai kemanusiaan dan kewarasan fikiran.

Cerpen tersebut mengisahkan seorang lelaki yang mempunyai enam orang anak hasil perkahwinan pertama. Walaupun isteri pertamanya tidak bersetuju, lelaki ini tetap berkahwin lain. Alasannya?

Pertama, isteri kedua ada pekerjaan tetap dan gaji bulanan. Kedua, dia lebih menarik dan pandai mengambil hati. Ketiga, dia dikatakan sanggup menjaga keenam-enam anak hasil perkahwinan lelaki itu dengan isteri pertama. Paling menghairankan, lelaki ini tidak pula memaklumkan kepada isteri kedua bahawa dia akan memikul tanggungjawab menjaga semua anak tersebut.

Lagi alasan yang diberi — isteri pertama tidak pandai menjaga diri dan tidak pandai melayan suami. Soalnya, bagaimana seorang isteri yang terpaksa melayan kerenah enam orang anak setiap hari mampu sentiasa kelihatan cantik dan bersolek demi memuaskan kehendak suami? Jika lelaki itu mahu isteri cantik sentiasa, mengapa pula sampai beranak enam?

Akhir cerita, lelaki itu meninggal dunia. Di tanah perkuburan, anak-anak dan isteri pertama menangis penuh kesedihan. Isteri kedua bertanya sama ada suaminya ada meninggalkan sebarang pesan. Jawapan yang diterima: dia kini turut bertanggungjawab menjaga keenam-enam anak tersebut!

Soalan saya mudah: apakah isteri kedua tiada hati dan perasaan? Adakah dia hanya patung kayu tanpa hak untuk menentukan masa depan hidupnya sendiri? Saya faham bahawa ini hanya sebuah cerpen dan penulis mempunyai kebebasan berkarya. Namun, bukankah sebagai penulis, wajar juga mempertimbangkan logik dan kemanusiaan dalam jalan cerita?

Siapa sebenarnya bertanggungjawab terhadap anak-anak? Adakah adil menjadikan wanita muda sebagai penyelamat tanpa persetujuannya? Cerita seperti ini perlu dipersoalkan agar kita tidak normalisasikan tindakan tidak adil yang berselindung di sebalik alasan "tanggungjawab" atau "pengorbanan".

Sekian, terima kasih.

Yang benar,
Daniswara Randika

No comments:

Post a Comment

Jejak Dalam Jeda

My Own Modules

For a long time, I have dedicated my Sundays to generating and developing exercises and modules for BM Lower Secondary, SPM, and STPM. I hav...